Sunday, March 22, 2009

Perempuan Tak Pandai Masak...Kenapa Dipertikaikan?

Kalau perempuan tidak boleh memasak,
dikutuk dan disuruh belajar. Kalau
lelaki tak boleh jadi imam kita kata
okay saja. Jangan diperbesarkan nanti
mereka terasa hati.

"Apalah perempuan, tak pandai masak
siapa nak kahwin dengan awak!"

Begitulah kata rakan sejawat lelaki
pada seorang anak dara, juga rakan sejawat
kami. Maka jawaplah si gadis ayu itu
yang dia tidak sempat belajar memasak
sebab dari kecil tidak digalakkan
keluarga sebaliknya di suruh menumpukan
perhatian pada pelajaran saja. Setelah
tinggal di asrama, peluang pulang ke
rumah terhad dan tidak sempat turun ke
dapur membantu ibunya.

''Habis sekarang kenapa tidak belajar?"
Tanya sang lelaki lagi dengan penuh
semangat.

''Sedang belajarlah ni tetapi selain
sibuk dengan kerjaya saya juga sibuk
belajar agama, jadi belajar memasak
tetap tidak diutamakan!" Begitu jawab
si gadis yang membuatkan lelaki tadi
menggeleng-geleng kepala. Baginya tidak
sempurna seorang wanita jika tidak tahu
memasak. Wanita sepatutnya buat begitu
juga.

Syarat utama menjadi suami mesti boleh
menjadi imam. Walau ada yang kata, jika
itu syaratnya bermakna makin ramai
wanita yang hidup bujang seumur hidup.

Lelaki meletakkan kebolehan wanita di
dapur sebagai perkara utama dan
ungkapan hendak memikat suami, perlu pikat
seleranya sering diguna pakai.

Tidak kiralah jika wanita itu
berpelajaran atau berjawatan tinggi dan
penyumbang utama kewangan dalam
rumahtangganya. Sekarang bukan asing
lagi gaji isteri lebih tinggi daripada
suami. Namun kedudukan suami sebagai
raja tidak pernah dilupa walau dia
tidak mengambil inisiatif mempelajari ilmu
menjadi imam. Ilmu bermain video game
di komputer mereka rasa lebih perlu.

Kalau tidak tahu memasak disuruh
belajar dan sesudah belajar perlu handal. Jika
handal bukan setakat masak untuk
keluarga sendiri, kalau boleh perlu
boleh memasak untuk tiga pasukan bola.

Begitulah standard yang telah
ditetapkan. Bolehkah kita meletakkan
undang-undang itu kepada lelaki juga.
Kalau tidak pandai jadi imam,
belajarlah. Mula-mula jadi imam kepada
keluarga sendiri, sudah terror boleh
mengimam satu taman perumahan juga.

"Sibuk suruh kita handal memasak,
mereka
tu bolehkah jadi imam?" Dengus teman
wanita yang lain.

Betul juga. Berapa kerat lelaki yang
menjadikan sembahyang jemaah di rumah
bersama anak isteri sebagai agenda
utama, selain keperluan memenuhi
pelbagai seleranya? Maka bertanyalah
wanita kini kepada beberapa lelaki
tentang kebolehan yang satu ini.

Ternyata ramai yang menjawab tidak
confident menjadi imam sebab takut
bacaan al-Fatihah tidak sempurna, salah
tajwid atau pun dia merasakan isterinya
lebih handal. Ada yang kata lebih elok
dia dan isteri sembahyang
sendiri-sendiri. Ada juga menjawab,
rasa kelakar pula apabila dirinya yang
rugged menjadi imam.

Isu ini sepatutnya kita beratkan
sepertimana masyarakat memberatkan
wanita perlu pandai memasak jika mahu
bersuami. Lelaki juga harus boleh
menjadi imam supaya kewibawaan mereka
sebagai ketua keluarga tidak goyah atau
menjadi mangsa 'queen control'. Kalau
tidak pandai, belajarlah sekarang.

Jika wanita disuruh belajar, apa
salahnya lelaki!

No comments:

Post a Comment