Monday, May 4, 2009

Uzair Hamba yang soleh


Uzair ialah hamba yang soleh. Tetapi orang-orang Yahudi mengatakan beliau adalah anak Allah seperti orang-orang kristian mengatakan nabi Isa sebagai anak Tuhan. Sejak zaman berzaman iblis dan syaitan cuba untuk menyesatkan manusia sehingga ke hari kiamat. Oleh itu bisikan iblis ini akan menyapa hati-hati yang kosong dan akal-akal yang sakit agar terus berasa syak wasangka dengan kebenaran walaupun Allah Taala telah menurunkan firman-Nya, menegaskan perkara tersebut. Seperti firman Allah yang bermaksud, “Katakanlah wahai Muhammad; ( Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;. " Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; "Ia tiada beranak, dan Ia tidak diperanakkan;" Dan tidak ada sesiapa pun yang setara dengan Nya. ”(surah al-Ikhlas)

Oleh itu marilah kita sama-sama menghayati kisah Uzair ini.

Hamba yang soleh


Uzair adalah keturunan bani Israel. Beragama Yahudi dan dikenali sebagai orang yang mempunyai iman yang kuat, ilmu yang dalam dan berakhlak mulia. Beliau juga penghafaz Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa a.s . Beliau juga diisytiharkan sebagai hakim dan tempat rujuk di kalangan ahli masyarakatnya di zaman itu.

Kota Lama

Uzair mempunyai kebun buah-buahan sebagai tempat dia mencari rezeki.
Beliau keluar awal pagi sebelum terbit matahari dengan menaiki seekor keldai .Beliau juga membawa sedikit makanan dan minuman. Apabila sampai di kawasan itu dia turun daripada keldainya dan mengikat keldainya itu kepada sebatng pokok. Dia mula bekerja. Setelah dia merasa lapar dia kembali ke tempat dia meninggalkan keldai , makanan dan minumannya. Dia mencubit sedikit roti yang di bawa dan minum sedikit minumannya. Kemudian merebahkan badan di bawah pokok itu .

Pandangannya menghala ke dahan-dahan pokok dan kakinya disandar ke sekeping dinding lama yang runtuh bersama-sama dengan atapnya ke bumi..
Fikirannya melayang kepada dinding lama itu. Ianya mungkin sebuah kota lamanya yang pada suatu masa dahulu sibuk dan dipenuhi oleh manusia. Dan kini tiada sesiapa lagi di situ dan kota yang musnah itu membayangkan betapa lamanya nostalgia masyarakatnya berlalu. Mungkin puluhan tahun dan mungkin ratusan tahun dahulu.

Dia juga menjumpai tulang- temulang bekas penghuninya yang berselerakan di atas tanah.
Beliau semakin berminat dengan pemerhatian dan persoalan yang bermain di fikirannya .Beliau memikirkan kebesaran Allah dan kekuasaan-Nya. Lalu terletus pertanyaan dari mulutnya bersama perasaan takjubnya itu. “Bagaimana Allah akan menghidupkan ini semua setelah kematian dan kemusnahan ini??? Oleh Kerana beliau adalah insan mukmin yang percaya kepada Allah dan hari kebangkitan tertanya-tanya olehnya bagaimana cara dan gambaran Allah membangunkan semula negeri dan penghuninya yang telah musnah sama sekali itu.

Tanda Kebesaran Allah


Maka Allah telah mengutuskan malaikat Izrael iaitu malaikat maut kepadanya agar di matikan selama seratus tahun. Ada pendapat mengatakan beliau ditidurkan sahaja seperti kisah Ashabul Kahfi.Dalam masa 100 tahun yang berlalu, maka masyarakat telah bertukar kepada generasi yang lain .
Apabila beliau dibangkitkan kembali. Malaikat bertanya “Berapa lama engkau tidur?” Beliau memandang ke langit. “Satu hari atau setengah hari” agaknya. Ini memandangkan dia bangun ketika matahari masih ada di langit. Beliau ingat beliau tidur dalam beberapa jam pada hari yang sama sahaja.

Rentasan masa


Maka berkata Malaikat “ Tidak, bahkan engkau tidur selama 100 tahun” Terkejut dia dengan penjelasan Malaikat itu . “100 tahun??!! Itu masa yang terlalu panjang. Banyak perkara boleh berubah??!!” Beliau kehairanan.
Malaikat berkata “ Tengoklah pada makanan dan minuman engkau itu, ianya seperti sediakala.” Tidak terusik mahupun rosak. Sama seperti waktu 100 tahun yang lampau. Uzair masih kehairanan dengan penjelasan malaikat itu. Lalu malaikat terus menunjukkan dia kepada keldai yang diikatnya di sebatang pokok. Apabila dia berpaling ke arah tersebut, dia hanya mendapati rangka keldai yang berserakan. Bukan lagi keldainya yang hidup. Pandangannya tertumpu antara dua perkara itu, iaitu makanan yang terjaga dengan baiknya dan keldai yang tinggal tulang temulang . Lalu Uzair mengangkat wajahnya ke langit dengan penuh khusyuk dan dan merendah diri.

Betapa mudahnya kekuasaan Allah untuk menghidup dan mematikan. Untuk memelihara atau memusnahkan. Apa yang berlaku kepadanya adalah tanda kewujudan Allah dan kekuasaan-Nya teerhadap segala perkara di langit dan di bumi.
Malaikat terus menunjukkan kepada tulang temulang keldai dan bagaimana apabila diseru ianya berkumpul semula dan kemudian disalut dengan daging dan ditumbuhkan bulu serta di tiupkan ruh dengan izin Allah. Maka berdiri lah himar itu seperti sediakala. Maka Uzair bersujud kepada Allah dan sedar bahawa betapa mudahnya Allah menghidupkan keldai yang telah mati seratus tahun. Maka yakinlah dia dengan sebenar-benar yakin bahawa amat mudah bagi Allah membangkitkan generasi lalu walaupun setelah berlalu ribuan tahun.

Menghadapi realiti


Uzair menunggang himarnya kembali ke kampung halamannya. Melalui pekan dan kedai-kedai yang telah bertukar wajah. Tiada siapa yang menegur dan mengenalinya, begitu juga dia, tidak mengenali sesiapa. Lalu dia menuju ke arah rumah tempat tinggalnya dahulu. Setibanya di situ dia mendapati ada seorang perempuan tua duduk di pintu rumahnya.

Dia adalah salah seorang orang gaji keluarganya. Lalu Uzair bertanya” Adakah ini rumah Uzair” “ Ya, inilah rumah Uzair”Tetapi perempuan tua itu menangis seraya berkata” Sudah lama tidak ada orang menyebut nama Uzair. Dia telah di lupakan setelah kehilangannya.
“Wahai mak cik ,Sayalah Uzair, Allah telah mematikan saya selama seratus tahun, kemudian Dia bangkitkan saya semula.” Uzair memperkenalkan dirinya. Terkejut perempuan tua itu.

Terasa ada orang mempermainkannya. “ Subhanallah….. Siapakah engkau yang mempermainkan aku, sedangkan Uzair telah hilang sejak seratus tahun lalu. Tidak ada khabar berita tentangnya. Cukup…usah bergurau lagi.” Marah wanita tua itu.
“Benar, sayalah Uzair, Sesungguhnya Allah yang menjadi saksi terhadap apa yang saya katakan.”Tegas Uzair lagi.

Doa Mustajab


Terdiam wanita tua itu seketika; lalu berkata” Sesungguhnya Uzair adalah lelaki beriman yang soleh, mustajab doanya. Jika dia berdoa keatas orang yang sakit akan sembuhlah penyakit itu. Jika engkau benar-benar Uzair maka tolong doakan agar Allah mengembalikan penglihatanku agar aku dapat melihat semula. Jika engkau Uzair…aku dapat mengecammu.” Maka berdoalah Uzair untuk wanita tua dan disapukan tangannya ke mata wanta tua itu dan dengan izin Allah maka wanita tua itu dapat melihat kembali. Lalu Uzair memegang tangan wanita tua itu lalu berkata” Mak cik bangun lah dengan izin Allah….” Maka dengan izin Allah juga wanita tua itu dapat berdiri. Maka dia melihat kepada Uzair seraya berkata “ Memang engkaulah Uzair.

Tanda Kebenaran

Maka Uzair dan wanita tua itu pergi lah ke sebuah majlis. Di situ terdapat seorang syaikh tua iaitu anak Uzair yang dikelilingi oleh anak-anak dan cucunya. Perempuan tua itu berseru “Ini Uzair yang telah datang kepada kamu” Mereka tercengang kebingungan. “ Apa yang kamu katakan wahai perempuan tua, apa yang kamu repekkan ini??!! Wanita tua itu terus berkata,” Kan aku seorang perempuan tua yang buta serta tidak dapat berdiri?! Tetapi dengan mustajabnya doa orang ini kepadaku aku dapat melihat dan berjalan kembali dengan izin Allah. Terdiam sejenak mereka itu antara percaya denagn tidak terhadap apa yang dikatakan oleh wanita itu.

Tiba-tiba syaikh tua itu berdiri dengan tongkat di tangannya sambil menghampiri mereka berdua. Sesunggguhnya bapaku mempunyai tanda hitam di antara ketiaknya…. Maka Uzair menyelak lengan bajunya untuk menunjukkan tanda itu. Lalu syaikh tua it uterus mendakap dan mencium tangan Uzair. Dia percaya itu adalah bapanya yang telah hilang sekian lama.
Tetapi tiba-tiba terdengar suara dari golongan bani Israel itu, “Tidak ada orang yang menghafaz isi Kitab Taurat seperti penghafazan Uzair.

Dan selepas kita diserang oleh Buhtansir, tidak ada apa yang tinggal lagi kecuali apa yang di hafaz oleh sesetengah dartipada kita. Jika engkau benar-benar Uzair , maka tulislah semula isi kandungan Taurat keseluruhannya. Dan sesungguhnya bapa Uzair telah menanam sebuah kitab Taurat di suatu tempat pada zaman Buhtansir yang tidak diketahui tempat itu kecuali Uzair. Maka Uzair telah membawa mereka itu ke tempat tu dan mengeluarkan kitab tersebut. Tetapi sayangnya ia telah dimakan anai-anai, maka duduklah Uzair di bawah pokok dengan dikelilingi oleh kaum Bani Israel.

Kemudian Allah menampakkan kepada Uzair kejelasan isi Taurat itu lalu dibacalah seperti membaca kitab yang sempurna. Lalu mereka menulisnya kembali. Maka dia meneruskan kehidupannya bersama-sama masyarakat di situ selam beberapa tahun sehingga Allah memanggilnya kembali.
Tetapi seperti biasa, Bani Israel ini terkenal dengan sifat melampaui batas dan berlebih-lebihan dalam segala urusan.

Maka diri mereka selalu dikelilingi denagn perasaan syak wasangka yang menyesatkan. Melihat kepda keperibadian Uzair yang istimewa lalu mereka kufur dengan mengatakan Uzair itu anak Allah. Sedangkan Allah menunjukkan kepada Uzair keistimewaan-keistimewaan itu adalah untuk mereka dijadikan iktibar untuk meyakini kewujudan Allah dan kekuasaan-Nya melakukan sesuatu.

No comments:

Post a Comment