Thursday, April 23, 2009

Fatimah Az Zahra ... khabar gembira di saat wafat ayahandanya

Pada bulan Ramadhan tahun kesepuluh Hijrah, iaitu sebelum Rasulullah menunaikan haji wida’, Rasulullah telah memberitahu Fatimah suatu rahsia yang belum diketahui orang lain : ‘Jibril membacakan al-Quran kepadaku dan aku mengulangi bacaanku kepadanya sekali setiap tahun, akan tetapi pada tahun ini Jibril telah membacakan al-Quran kepadaku sebanyak dua kali. Aku tidak memikirkan yang lain kecuali masaku telah tiba.’

Sekembalinya baginda dari haji wida’, baginda telah jatuh sakit teruk. Hari-hari terakhir baginda sebelum wafat dihabiskan di rumah Saidatina Aisyah r.a. Apabila Fatimah datang menziarahi bapanya, Aisyah akan beredar meninggalkan Fatimah bersama bapanya.

Pada suatu hari baginda memanggil Fatimah. Apabila beliau datang, Rasulullah mencium Fatimah dan membisikkan sesuatu di telinganya. Fatimah pun menangis. Kemudian baginda berbisik lagi ke telinga Fatimah lalu beliau tersenyum.

Aisyah yang melihat perkara tersebut bertanya : ‘Engkau menangis dan ketawa dalam masa yang sama Fatimah? Apakah yang Rasulullah katakan kepadamu?’
‘Rasulullah memberitahuku bahawa baginda akan menemui Tuhannya tidak lama lagi lalu aku pun menangis. Kemudian baginda berkata : “Janganlah menangis kerana engkau adalah orang pertama dari keluargaku yang akan mengikuti jejakku.” Maka aku pun ketawa.’

Tidak lama kemudian Rasulullah meninggal dunia. Fatimah sangat bersedih dan sering dilihat menangis tanpa henti. Salah seorang sahabat mengatakan beliau tidak pernah melihat Fatimah r.a. ketawa setelah kewafatan Rasulullah s.a.w.

No comments:

Post a Comment