Thursday, April 23, 2009

Kehidupan Az-Zahra

Kehidupan Fatimah bersama Ali tidak dihiasi dengan kemewahan, sama seperti kehidupannya bersama Rasulullah s.a.w. Dari segi keselesaan material, kehidupannya serba kekurangan dan kesempitan. Sepanjang hidup mereka sebagai suami isteri, Ali tetap miskin kerana beliau tidak berusaha mengumpul harta kekayaan. Fatimah merupakan satu-satunya di antara adik-beradiknya yang tidak berkahwin dengan suami yang kaya.

Bahkan, boleh dikatakan bahawa kehidupan Fatimah bersama Ali lebih sukar berbanding kehidupannya bersama Rasulullah s.a.w. Sekurang-kurangnya, di rumah Rasulullah sentiasa ada orang-orang yang sedia membantunya menajalakan tugas-tugas harian. Namun kini beliau harus menguruskan tanggungjawabnya sendirian. Sebagai sumber pendapatan, Ali bekerja sebagai pengangkut air manakala Fatimah pula mengisar gandum. Pernah suatu ketika Fatimah berkata kepada Ali : ‘Aku telah mengisar gandum sehingga tanganku luka-luka.’ ‘Aku telah mengangkut air sehingga dadaku sakit,’ kata Ali lalu mencadangkan kepada Fatimah : ‘Allah telah memberkati bapamu dengan beberapa orang tawanan perang, pergilah kau kepadanya dan mintalah agar dia memberikan seorang pembantu kepadamu.’

Dengan hati yang berat, Fatimah telah menemui Rasulullah yang berkata kepadanya : ‘Apa yang telah menyebabkan kau datang kemari, wahai anakku?’ ‘Aku datang dengan doa kesejahteraan buatmu,’ kata Fatimah, yang menjadi kelu sebaik berhadapan dengan Rasulullah s.a.w. ‘Apa yang telah engkau lakukan?’ Tanya Ali sebaik sahaja Fatimah pulang dari rumah bapanya.
‘Aku terlalu malu untuk meminta kepadanya,’ jawab Fatimah. Maka kedua mereka pun pergi menemui Rasulullah untuk menyampaikan permintaan itu. Namun Rasulullah merasakan lebih ramai lagi orang lain yang lebih memerlukan dari mereka. ‘Aku tidak akan memberikannya kepada kamu,’ kata baginda, ‘dan membiarkan ahl as-Suffah (golongan miskin yang tinggal di masjid) dalam kelaparan. Aku tidak mempunyai perbelanjaan yang cukup untuk menyara mereka….’

Ali dan Fatimah pulang ke rumah dengan perasaan hampa. Namun begitu, pada malam tersebut ketika mereka sedang tidur, mereka mendengar suara Rasulullah s.a.w. meminta izin untuk masuk ke rumah mereka. Mereka bingkas bangun untuk menyambut baginda namun Rasulullah berkata : ‘Duduk saja di situ,’ lalu baginda duduk bersama mereka. ‘Mahukah kamu sekiranya aku mengajar kamu sesuatu yang lebih baik dari apa yang kau minta dariku?’ Tanya baginda yang dijawab ya lalu baginda berkata lagi, ‘Jibrail telah mengajarku, hendaklah kamu berkata “Subhaan Allah – Maha suci Allah” sepuluh kali selepas setiap solat, dan “al-Hamdu Lillah – segala puji bagi Allah” sepuluh kali dan “Allahu Akbar – Allah Maha Besar” sepuluh kali. Dan apabila kamu hendak tidak, bacakan setiap satu itu tiga puluh tiga kali. Ali sering berkata kemudiannya : ‘Tidak pernah aku lupa untuk mengucapkannya setelah Rasulullah s.a.w. mengajarkannya kepada kami.’

Terdapat banyak riwayat yang menceritakan kepayahan hidup yang dialami oleh Fatimah. Di rumahnya sering tidak ada makanan. Pernah suatu ketika baginda Rasulullah s.a.w. berasa lapar. Beliau pergi ke rumah isteri-isterinya satu demi satu namun semuanya tidak mempunyai makanan. Baginda kemudiannya pergi ke rumah Fatimah namun beliau jugak tidak mempunyai sebarang makanan. Apabila baginda akhirnya memperoleh sedikit makanan, beliau telah mengirimkan dua buku roti dan sedikit daging kepada Fatimah. Pernah juga baginda Rasulullah berkunjung ke rumah Abu Ayyub al-Ansari dan diberikan sedikit makanan.

Sebahagian daripada makanan tersebut telah baginda simpan untuk diberikan kepada Fatimah. Fatimah juga sedia maklum tentang keadaan Rasulullah yang sering ketiadaan makanan maka beliau juga akan membawakan makanan kepada baginda sekiranya beliau mampu. Pernah suatu ketika Fatimah membawa sedikit roti barli kepada Rasulullah dan baginda berkata : ‘Inilah makanan pertama yang dimakan oleh bapamu ini setelah tiga hari.’

No comments:

Post a Comment