Selepas peristiwa itu (peristiwa Fatimah, Abu Bakar dan Umar), Fatimah AH akhirnya tidak bercakap lagi dengan keduanya sehingga beliau AH wafat iaitu kira-kira enam bulan selepas kewafatan Rasulullah SAW [sila lihat Sahih Bukhari Jilid VI, hlm. 196].
Di sepanjang tempoh tersebut, Fatimah AH sering menziarahi makam Rasul SAW dengan air mata bercucuran mengenangkan sikap para sahabat Nabi SAW terhadapnya selepas Rasul SAW tiada lagi di sisi mereka. Beliau AH sering juga menziarahi kuburan para syuhada di luar kota Madinah. Ada di kalangan orang yang tidak suka Fatimah AH menangis sedemikian rupa. Ada yang rasa terganggu dengan tangisan Fatimah AH. Imam Ali AS kemudian membina sebuah rumah kecil di kawasan Perkuburan Baqi' untuk kemudahan Fatimah AH. Fatimah AH sering membawa anak-anaknya Hasan dan Husayn ke rumah tersebut bagi meluahkan rasa kesedihan sehinggalah menjelang senja. Rumah kecil itu dipanggil Bayt al-Ahzan (Rumah Kesedihan). Imam Ali AS sering pergi ke rumah itu bagi mengiringi Fatimah AH pulang ke rumah. [Bihar, Juzuk 43, hlm.177-178]
Pada hakikatnya, khabar tentang kewafatan Fatimah AH telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW ketika baginda SAW sakit. Riwayat al-Bukhari dari Aisyah:
" Nabi SAW memanggil Fatimah AH ketika baginda SAW sedang sakit kuat, dan menyatakan suatu rahsia yang membuatkan Fatimah AH menangis. Kemudian baginda SAW menyatakan sesuatu kepada Fatimah AH yang menyebabkan beliau AH tertawa. Apabila aku (Aisyah) bertanya kepadanya, beliau berkata bahawa Nabi SAW menyatakan kepadanya suatu rahsia tentang sakit yang dialami akan membawa kepada kewafatan baginda SAW, lantaran itu aku (Fatimah AH) menangis. Beliau SAW kemudian menyatakan kepadanya bahawa beliau AH adalah seorang dari keluarganya yang mula-mula menemuinya selepas beliau SAW wafat (Fatimah AH akan menyusuli (wafat) selepas Rasul SAW wafat), lalu, aku tertawa [Al-Bukhari, Jilid V, hadith 62]
Ketika ajalnya hampir tiba, Fatimah AH memanggil Ali AS dan berkata:
"Wahai putera pamanku, aku berasa ajalku semakin hampir. Tidak lama lagi aku akan menyusul ayahku. Dengarkanlah wasiat terakhirku yang sudah lamaku simpan dalam hati.
Mendengar kata-kata isterinya itu dalam nada tersekat-sekat, Imam Ali AS meminta semua orang yang tidak berkepentingan keluar. Kemudian ia menjawab:"Katakanlah segala wasiatmu wahai puteri Rasulullah..."
Fatimah AH berkata:" Wahai puteri pamanku, sejak engkau bergaul denganku, apakah engkau pernah melihat aku berdusta, atau tidak mengikut kemahuanmu? Sudah tentu pertanyaan aneh ini cukup membingungkan Ali AS dalam suasana sedih sebegitu. Tetapi Ali segera dapat menguasai dirinya, kemudian menyahut:" Na'udzu billah, engkau lebih mengerti, engkau lebih bersih, lebih bertaqwa, lebih mulia, dan lebih takut kepada Allah. Seandainya engkau pernah tidak menuruti kehendakku, sama sekali aku tidak menyesali dirimu. Aku berasa sangat berat berpisah dan kehilangan dirimu, tetapi itu suatu hal yang tidak mungkin. Demi Allah, musibah baru akan menimpa diriku lagi sesudah Rasulullah SAW wafat. Sungguh berat rasanya aku akan kau tinggalkan....Inna lillahi wa-ina ilaihi raji'un...! Demi Allah, tidak ada musibah yang lebih berat dari ini, dan tidak ada cubaan yang lebih keras dari ini..."
Di antara wasiat Fatimah AH kepada Imam Ali AS ialah meminta Imam Ali AS menguburkan jenazahnya pada malam hari dan tidak mengizinkan orang-orang yang menzaliminya menyaksikan majlis pemakamannya, dan juga tidak mengizinkan mereka mengadakan solat jenazah ke atasnya. Pada malam ketiga Jamadil Akhir tahun ke-11 Hijrah, Imam Ali AS dan sebilangan kecil dari keluarga dan syiahnya yang setia menyempurnakan jenazah Fatimah AH. Di antara mereka adalah Ali, Hasan, Husayn, Zainab, Umi Kalthum, Aqil, Abu Dzar, Ammar, Miqdad dan Salman al-Farisi.
Ketika Imam Ali AS mengadu kepada Rasul SAW di permakaman baginda SAW tentang kewafatan Fatimah AH, beliau berkata:
" Wahai Nabi Allah, salam ke atasmu dariku dan dari puterimu yang kembali kepadamu dan tersangat cepatnya ia kembali kepadamu. Wahai Nabi Allah, kesabaranku tentang buah hatimu (puterimu Fatimah AH) telah semakin lelah, dan kekuatanku menghadapinya semakin lemah, kecuali aku telah mengalami kesedihan ketika berpisah denganmu dulu. Aku letakan dirimu ke dalam kuburmu selepas nafasmu yang terakhir di antara leher dan dadaku.
Firman Allah SWT, yang bermaksud:
"...Sesungguhnya kita dari Allah, dan sesungguhnya kepadaNya kita kembali."(Qur'an 2:156)
Kini, apa yang telah engkau amanahkan kepadaku (Fatimah AH) dan apa yang telah diberikan telah diambil kembali. Kesedihanku sudah tidak bertepi lagi, dan malam-malamku semakin suram tanpa tidur sehingga Allah memilihkanku sebuah rumah yang ketika ini engkau diami.
Sesungguhnya, puterimu pasti akan mengadu kepadamu tentang ummatmu yang menzaliminya. Engkau tanyalah kepadanya dan pasti akan mendapat tahu tentang perkara tersebut. Semua ini berlaku ketika masa belum berlaku panjang dan ingatanmu belum lagi hilang. Salamku ke atas kamu berdua...."[Nahjul Balaghah, Khutbah nombor 201]
Friday, April 24, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment