Fatimah r.a. berhijrah ke Madinah beberapa minggu selepas penghijrahan Rasulullah s.a.w. Beliau pergi bersama Zaid bin Harithah yang telah diutuskan oleh baginda untuk membawa ahli keluarganya ke Madinah. Rombongan hijrah itu terdiri daripada Fatimah dan Umm Kalthum, Sa’udah isteri Rasulullah, Barakah isteri Zaid beserta anaknya Usamah. Turut sama dalam rombongan tersebut ialah anak Abu Bakar, Abdullah yang mengiringi ibunya dan kakaknya, Aisyah dan Asma.
Fatimah tinggal di Madinah bersama bapanya di sebuah rumah kecil yang dibina Rasulullah bersebelahan dengan Masjid Nabawi. Pada tahun kedua Hijrah, Fatimah menerima beberapa lamaran perkahwinan melalui bapanya, dan dua daripada lamaran tersebut ditolak. Kemudian Ali bin Abi Talib berjaya menguatkan semangatnya lalu bertemu dengan Rasulullah s.a.w. dengan lamaran untuk mengahwini Fatimah. Namun begitu, Ali menjadi gementar ketika berhadapan dengan baginda Rasulullah lalu tidak dapat menyuarakan hajatnya. Beliau hanya tunduk ke bawah tanpa berkata-kata. Lalu Rasulullah pun bertanya : ‘Apakah tujuan kau ke mari? Adakah kau memerlukan sesuatu?’ Ali masih belum dapat bersuara maka Rasulullah s.a.w. pun mencadangkan; ‘Adakah engkau datang untuk melamar Fatimah?’
‘Ya,’ jawab Ali. Dengan itu, menurut sesetangah riwayat, baginda Rasulullah hanya menjawab : ‘Marhaban wa ahlan – Selamat datang ke dalam keluargaku,’ dan jawapan ini diterima oleh Ali dan sekumpulan orang Ansar yang menunggunya di luar rumah sebagai penerimaan Rasulullah terhadap lamaran tersebut. Satu riwayat lain melaporkan bahawa Rasulullah telah menerima lamaran Ali itu dan bertanya kepada Ali sekiranay dia mempunyai sesuatu yang boleh dijadikan sebagai mahr. Ali menjawab tidak. Rasulullah s.a.w. mengingatkan bahawa beliau mempunyai sebuah perisai yang boleh dijual.
Lalu Ali menjual perisai tersebut kepada Uthman dengan harga empat ratus dirham. Namun ketika sedang menuju ke rumah Rasulullah untuk menyerahkan mahr tersebut, Uthman berkata kepadanya : ‘Aku memulangkan perisai ini kepada engkau sebagai hadiah sempena perkahwinan engkau kepada Fatimah.’ Dengan itu, Fatimah dan Ali telah dinikahkan kemungkinan sekali pada awal tahun kedua Hijrah.
Umur Fatimah pada ketika itu lebih kurang sembilan belas tahun manakala Ali berusia lebih kurang dua puluh satu tahun. Upacara akad nikah telah dilakukan oleh baginda Rasulullah sendiri. Pada upacara walimah pula, para tetamu dihidangkan dengan buah tamar, tiin dan hais (hidangan tamar bercampur lemak mentega). Seorang lelaki ansar yang terkemuka telah menyedahkan seekor kambing manakala beberapa orang yang lain menawarkan gandum sebagai hadiah. Seluruh Madinah meraikan hari yang bahagia itu.
Sempena perkahwinan tersebut, Rasulullah diriwayatkan telah menghadiahi Fatimah dan Ali dengan sebuah katil kayu yang dililit dengan daun pokok tamar, cadar baldu, sebuah bantal kulit yang diisi dengan pelepah tamar, sebuah karung kulit, sebuah tembikar, sebuah karung air dan penggiling untuk mengisar gandum.
Fatimah meninggalkan rumah bapanya buat kali pertama untuk memulakan kehidupan bersama suaminya. Rasulullah s.a.w. yang pastinya mengambil berat terhadap anaknya Fatimah telah mengutuskan Barakah mengiringi Fatimah dan membantunya.
Barakah memainkan peranan penting dalam membantu Fatimah dalam menghadapi waktu-waktu kesulitan. Baginda Rasulullah telah berdoa untuk mereka :‘Ya Tuhanku, berkatilah mereka kedua, berkatilah rumah mereka dan berkatilah anak-anak mereka.’ Di rumah Ali yang kecil hanya terdapat sehelai kulit kambing sebagai tempat tidur. Di pagi selepas hari perkahwinan tersebut, Rasulullah pergi berkunjung ke rumah Ali lalu mengetuk pintunya. Barakah menjawab ketukan pintu dan Rasulullah pun berkata kepadanya :‘Ya Umm Aiman, panggilkan saudaraku.’ ‘Saudaramu? Dia itukah yang mengahwini anakmu?’ Tanya Barakah yang seolah berbunyi : ‘Mengapakah Rasulullah menggelar Ali saudaranya?’ (Baginda menggelar Ali sebagai saudaranya kerana baginda dan Ali dihubungkan dengan tali persaudaraan sebagaimana seorang Ansar dan Muhajjirin dipersaudarakan selepas peristiwa Hijrah.)
Rasulullah mengulangi kata-katanya dengan suara yang lebih tinggi. Ali pun datang ke pintu dan Rasulullah telah berdua meminta kerberkatan dari Allah kepadanya. Kemudian baginda memanggil Fatimah. Beliau datang dengan penuh segan silu lalu berkata Rasulullah kepadanya : ‘Aku telah mengahwinkan engkau kepada ahli keluargaku yang paling aku sayangi.’ Kata-kata Rasulullah ini bertujuan menenangkan hati Fatimah. Beliau bukanlah sedang memulakan kehidupan baru bersama seseorang yang tidak dikenali tetapi dengan seseorang yang telah membesar bersamanya, seseorang yang merupakan orang paling awal memeluk Islam pada usia yang sangat muda, seseorang yang terkenal dengan semangat yang tinggi, keberanian dan ketakwaannya, seseorang yang digelar Rasulullah s.a.w. sebagai ‘saudaranya di dunia dan di akhirat.’
Thursday, April 23, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment