Perbuatan-perbuatan baik terhadap bapanya itulah yang menggambarkan kasih saying Fatimah kepada Rasulullah dan baginda juga menyayangi Fatimah dengan sebenar-benarnya.
Pada suatu masa, baginda Rasulullah pulang dari suatu perjalanan ke luar Madinah. Tempat pertama yang dituju oleh baginda ialah masjid untuk menunaikan solat dua rakaat seperti kebiasaannya. Dan, seperti biasa juga, baginda terus menuju ke rumah Fatimah sebelum bertemu dengan isteri-isteri baginda. Fatimah menyambut kedatangan baginda dan mencium wajah baginda lalu menangis. ‘Mengapa engkau menangis?’ Rasulullah bertanya. ‘Aku melihat engkau, ya Rasulullah,’ katanya, ‘aku melihat wajahmu yang pucat dan pakaianmu yang koyak dan lusuh.’ ‘Wahai Fatimah,’ jawab Rasulullah dengan lemah lembut, ‘janganlah engkau menangis kerana Allah telah mengutuskan bapamu dengan satu tugas yang akan membawa perubahan kepada setiap rumah di muka bumi ini, baik di kota, desa atau di khemah-khemah (di padang pasir) dan membawa bersamanya kegemilangan atau keruntuhan sehinggalah tugas ini selasai sama seperti malam yang pasti akan datang.’ Kata-kata sedemikian sering kali membuatkan Fatimah lupa akan kesengsaraan dan kepahitan hidup dan membuka matanya kepada kebesaran dan kehebatan berita besar yang dibawa oleh bapanya.
Fatimah kemudiannya kembali tinggal di sebuah rumah berhampiran dengan rumah bapanya. Rumah tersebut telah dihadiahkan oleh seorang Ansar yang tahu bahawa Rasulullah pasti bergembira apabila anak kesayangannya itu tinggal berhampiran dengannya. Mereka mengharungi kemenangan dan kejayaan, kepedihan dan kepayahan hidup di kota Madinah yang bersejarah.
Pada pertengahan tahun kedua Hijrah, kakak beliau Ruqayyah telah diserang demam campak. Peristiwa ini terjadi sejurus selepas Peperangan Badar. Suami Rquayyah, Uthman, tinggal bersamanya untuk menjaga Ruqayyah lalu tidak dapat bersama di dalam peperangan tersebut. Ruqayyah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir sejurus sebelum bapanya pulang ke Madinah.Antara perkara pertama yang dilakukan Rasulullah s.a.w. sekembalinya dari Madinah adalah menziarahi kubur Ruqayyah.
Baginda ditemani oleh Fatimah. Ini merupakan kehilangan yang pertama dialami di kalangan keluarga baginda yang terdekat selepas kewafatan Saidatina Khadijah. Fatimah amat berdukacita atas pemergian kakaknya yang tersayang. Air mata tidak berhenti mengalir sedang beliau duduk di sisi baginda Rasulullah di kubur Ruqayyah. Baginda menenangkan Fatimah dan mengesat airmatanya dengan jubah baginda.
Rasulullah s.a.w. pernah menegah umat Islam dari meratapi kematian seseorang, namun perkara ini telah disalahfahamkan. Sekembalinya Rasulullah dan Fatimah, terdengar suara Umar sedang memarahi wanita-wanita yang meratapi kematian ahli-ahli perang Badar dan juga Ruqayyah.
‘Umar, biarlah mereka menangis,’ kata baginda sambil menambah, ‘apa yang datang melalui hati dan melalui mata, itu adalah dari Allah dan belas kasihNya, akan tetapi apa yang datang melaui tangan dan melalui lidah, itu adalah dari Syaitan.’ ‘melalui tangan’ yang dimaksudkan baginda adalah perbuatan memukul dada dan menampar pipi, dan ‘melalui lidah’ bermaksud perbuatan membuat bising dengan menguatkan suara seperti yang sering dilakukan oleh kaum wanita bagi meraih simpati.
Uthman kemudiannya mengahwini seorang lagi anak perempuan Rasulullah iaitu Umm Kalthum, lalu beliau digelar ‘dhu an-Nurain’ yang bermaksud ‘Pemilik Dua Cahaya’.
Kesedihan yang dialami keluarga Rasulullah akibat kematian Ruqayyah telah diubati dengan kegembiraan apabila Fatimah melahirkan seorang bayi lelaki pada bulan Ramadhan tahun ketiga Hijrah. Baginda telah mengazankan bayi yang baru lahir itu dan menamakannya al-Hassan yang bermaksud ‘yang indah’.
Setahun kemudian pula Fatimah melahirkan seorang lagi anak lelaki yang diberi nama al-Husayn yang bermaksud ‘Hassan yang kecil’ atau ‘si kecil yang indah’. Fatimah sering membawa dua orang anaknya bertemu dengan datuk mereka yang begitu menyayangi mereka. Baginda membawa mereka ke masjid di mana mereka sering menaiki belakang Rasulullah ketika baginda sedang sujud.
Thursday, April 23, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment